DEBAK: Pengiktirafan Kampung Melayu Debak sebagai perintis kepada
pelaksanaan Program Kampung Pengembangan Tanaman Getah di Sarawak oleh
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah
yang pertama bagi negeri ini.
Pegawai RISDA Saratok, Hardenan Golong berkata, ia adalah satu sejarah baharu dalam perkembangan industri tanaman berkenaan.
Menurut
beliau, program ini dilaksanakan di bawah bantuan tanaman semula RISDA
itu mampu melonjakkan industri berkenaan serta memberikan impak positif
kepada pengusaha, terutama masyarakat luar bandar dan penduduk kampung.
“Dalam
program yang pertama ini, tiga buah kampung iaitu Kampung Lalang,
Kampung Bungey dan Kampung Babu digabungkan menjadi satu Kampung
Pengembangan yang bakal dijadikan model pembangunan setempat untuk
mempromosikan amalan pertanian baik meliputi teknologi bersesuaian bagi
negeri ini.
“Konsep amalan pertanian baik ini perlu diterapkan
secepat mungkin untuk mengembangkan industri tersebut, di samping
mengimbangi aplikasi teknologi luar.
“Semua input dan kemudahan
teknologi terkini akan digunakan di kawasan Kampung Pengembangan ini
yang bermatlamat memastikan industri ini berjaya mencapai misinya dan
memberikan hasil positif kepada penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata
demikian ketika berucap pada Program Latihan GAP, Penyerahan Peralatan
GAP dan Majlis Berbuka Puasa Kampung Pengembangan RISDA, Debak di Masjid
Darul Solihin di sini, petang kelmarin.
Hardenan berkata,
permohonan tanam semula getah bagi kawasan Kampung Melayu Debak sejak
tahun 2009 hingga kini ialah sebanyak 272 dengan 289 hektar telah
diluluskan dan dibayar.
Dalam pada itu, katanya, selain Kampung
Pengembangan, RISDA juga telah menubuhkan Perkumpulan Wanita Pekebun
Kecil (PWPK) di Kampung Bungey dan Kampung Babu di sini yang sedang giat
menjalankan aktiviti dan menyumbang kepada pendapatan sampingan isi
rumah pekebun kecil.
“Dengan pelaksanaan program-program ini, ia
dijangka akan dapat meningkatkan pelaksanaan aktiviti pengembangan
seperti tunjuk ajar teknik GAP, aplikasi teknologi dan inovasi demi
mencapai matlamat RISDA untuk membangunkan masyarakat pekebun kecil di
sini.
“Diharap objektif Kampung Pengembangan sebagai pusat contoh
dan sumber rujukan pekebun kecil luar dan dalam kawasan untuk
mempertingkatkan pengetahuan mereka akan tercapai,” katanya lagi.
Sementara
itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam dalam
ucapan perasmiannya berkata, masyarakat yang terlibat dengan program
itu harus berasa bangga dengan pengiktirafan tersebut.
“Kita
percaya dengan kemudahan ini, masyarakat mampu membuktikan bahawa mereka
sememangnya layak dengan pengiktirafan tersebut. Jangan persiakan
peluang yang telah diberikan ini, sebaliknya manfaatkannya sebaik
mungkin, terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.
“Diharap
penduduk Kampung Melayu Debak yang telah dipilih sebagai Kampung
Pengembangan RISDA bagi Bahagian Betong akan menjadi model pembangunan
setempat yang mengamalkan kaedah terbaik pertanian baik, seterusnya
menjadi kampung contoh kepada kampung-kampung lain di negeri ini,”
katanya.
Razi turut berharap hubungan baik penduduk tempatan
dengan RISDA akan berkekalan untuk menambah baik kehidupan dan membantu
dalam pembangunan rakyat.
Dalam pada itu, Hardenan yang mewakili
Pengarah RISDA Negeri Sarawak turut mengumumkan peruntukan sebanyak
RM5,000 kepada Kampung Pengembangan Kampung Melayu Debak untuk
pengurusan seperti pembelian peralatan pam racun bateri, pam racun biasa
dan peralatan pertanian lain.