Isnin, 22 Disember 2014

DEBAK: Pengiktirafan Kampung Melayu Debak sebagai perintis kepada pelaksanaan Program Kampung Pengembangan Tanaman Getah di Sarawak oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah yang pertama bagi negeri ini.
Pegawai RISDA Saratok, Hardenan Golong berkata, ia adalah satu sejarah baharu dalam perkembangan industri tanaman berkenaan.
Menurut beliau, program ini dilaksanakan di bawah bantuan tanaman semula RISDA itu mampu melonjakkan industri berkenaan serta memberikan impak positif kepada pengusaha, terutama masyarakat luar bandar dan penduduk kampung.
“Dalam program yang pertama ini, tiga buah kampung iaitu Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu digabungkan menjadi satu Kampung Pengembangan yang bakal dijadikan model pembangunan setempat untuk mempromosikan amalan pertanian baik meliputi teknologi bersesuaian bagi negeri ini.
“Konsep amalan pertanian baik ini perlu diterapkan secepat mungkin untuk mengembangkan industri tersebut, di samping mengimbangi aplikasi teknologi luar.
“Semua input dan kemudahan teknologi terkini akan digunakan di kawasan Kampung Pengembangan ini yang bermatlamat memastikan industri ini berjaya mencapai misinya dan memberikan hasil positif kepada penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Latihan GAP, Penyerahan Peralatan GAP dan Majlis Berbuka Puasa Kampung Pengembangan RISDA, Debak di Masjid Darul Solihin di sini, petang kelmarin.
Hardenan berkata, permohonan tanam semula getah bagi kawasan Kampung Melayu Debak sejak tahun 2009 hingga kini ialah sebanyak 272 dengan 289 hektar telah diluluskan dan dibayar.
Dalam pada itu, katanya, selain Kampung Pengembangan, RISDA juga telah menubuhkan Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di Kampung Bungey dan Kampung Babu di sini yang sedang giat menjalankan aktiviti dan menyumbang kepada pendapatan sampingan isi rumah pekebun kecil.
“Dengan pelaksanaan program-program ini, ia dijangka akan dapat meningkatkan pelaksanaan aktiviti pengembangan seperti tunjuk ajar teknik GAP, aplikasi teknologi dan inovasi demi mencapai matlamat RISDA untuk membangunkan masyarakat pekebun kecil di sini.
“Diharap objektif Kampung Pengembangan sebagai pusat contoh dan sumber rujukan pekebun kecil luar dan dalam kawasan untuk mempertingkatkan pengetahuan mereka akan tercapai,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam dalam ucapan perasmiannya berkata, masyarakat yang terlibat dengan program itu harus berasa bangga dengan pengiktirafan tersebut.
“Kita percaya dengan kemudahan ini, masyarakat mampu membuktikan bahawa mereka sememangnya layak dengan pengiktirafan tersebut. Jangan persiakan peluang yang telah diberikan ini, sebaliknya manfaatkannya sebaik mungkin, terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.
“Diharap penduduk Kampung Melayu Debak yang telah dipilih sebagai Kampung Pengembangan RISDA bagi Bahagian Betong akan menjadi model pembangunan setempat yang mengamalkan kaedah terbaik pertanian baik, seterusnya menjadi kampung contoh kepada kampung-kampung lain di negeri ini,” katanya.
Razi turut berharap hubungan baik penduduk tempatan dengan RISDA akan berkekalan untuk menambah baik kehidupan dan membantu dalam pembangunan rakyat.
Dalam pada itu, Hardenan yang mewakili Pengarah RISDA Negeri Sarawak turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Kampung Pengembangan Kampung Melayu Debak untuk pengurusan seperti pembelian peralatan pam racun bateri, pam racun biasa dan peralatan pertanian lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan